Monday, 15 December 2014

POLITIK "TERJUN BOTOL"


Presiden PKR, Datin Seri Dr Azizah Wan Ismail mengatakan bahawa pelbagai dakwaan yang dibuat oleh Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin terhadap beberapa perkara “sumbang” dalam parti itu sebagai isu “peribadi”.

Ini bermakna tuduhan Badrul atau Chegu Bard  bahawa ada penyokong Timbalan Presiden, Azmin Ali, cuba mensabotaj pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor dengan menarik balik sokongan bulat PKR , adalah tidak benar dan tidak berasas.

Jika demikian bererti Badrul tidak bercakap benar apabila mendedahkan perkara itu kononnya mahu membela maruah Wan Azizah daripada dikhianati “orang-orang Azmin”.

Sekaligus ini menegaskan bahawa Wan Azizah akur tiada komplot untuk mengaibkannya dan apabila beliau menegaskan bahawa itu adalah “isu peribadi Badrul” ia membayangkan ada niat serong Badrul terhadap Azmin pula.

Sudah tentu bagi parti yang menghadapi soal kewibawaan kerana gagal mempamerkan pengurusan demokrasi yang baik seperti dapat dilihat dalam proses pemilihan pimpinannya yang baru lalu, sikap “basuh tangan” presiden apabila menghadapi politik “kurang beretika” dalam parti itu, agak mengecewakan.

Pendirian presiden parti seperti Wan Azizah itu bolehlah dianggap tidak tegas malah boleh menjadi katalis untuk pelbagai lagi amalan politik kurang beradab seperti “mengadu-domba” pemimpin ini berleluasa.

Dalam kes Badrul, politik “terjun botol” ini seharusnya menggusarkan pimpinan parti sejak lama dahulu. Dalam istilah kontemporari, beliau “bermulut laser” dan tidak gentar menggunakan kata-kata pedas dan mengguris hati terhadap lawan politik luar mahupun dalam parti.

Jika PKR mendakap prinsip politik memperjuangkan keadilan hakiki maka perkara pertama yang harus dipastikan ialah keadilan untuk setiap dan seluruh ahli serta pemimpinnya daripada menjadi mangsa sikap politik “fitnah” begini.

Sesungguhnya PKR seharusnya tahu membezakan apa dan di mana batas kebebasan bersuara dengan fitnah. Lebih-lebih lagi jika diteliti jalur pemikiran politik PKR ialah sentiasa meletakkan diri sebagai sasaran fitnah pihak lawan, terutama dalam isu moral Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soal sikap politik pelik Badrul ini bukan baharu. Dalam tempoh pemilihan pemimpin dari Mac hingga Ogos tahun ini pelbagai tuduhan dibuatnya yang boleh “mencederakan” imej PKR. Yang nyatanya pusar serangan politiknya ialah Azmin Ali.

Memang benar tindakan ke atas Badrul sudah diambil dan kini keahliannya digantung kerana melanggar disiplin pemilihan parti. Bagaimanapun itu tidak melelahkan pemimpin Solidariti anak Muda Malaysia (yang tidak lagi begitu muda) itu daripada terus menunjukkan sikap yang kurang menghormati prinsip keadilan.

Soalnya, apakah PKR perlukan seorang soldadu politik yang mengamalkan “politik kiasu” begini? Adakah PKR masih lagi berada di takuk politik lama di mana ia amat perlukan orang seperti Badrul untuk “menggemparkan” masyarakat dengan pelbagai tuduhan “liar dan nekad” untuk memancing perhatian rakyat?

Apakah selepas 15 tahun memimpin parti yang mengisytiharkan diri mahu memastikan keadilan bagi setiap insan berwarganegara Malaysia, PKR masih perlukan taktik politik yang cuba “mengenyit mata naluri politik rakyat” sahaja?

Tidakkah sudah tiba masanya PKR yang meletakkan diri sebagai teraju perjuangan keadilan dan demokrasi berhenti menggunakan strategi “membuat gempar” seperti kebanyakan artis hiburan demi menarik perhatian rakyat.

Gelagat politik sebegini mesti dihentikan dahulu jika PKR jujur dengan slogannya “Rakyat Hakim Negara”. Sudah tentu sebagai hakim, rakyat perlukan sebuah parti yang digerakkan oleh orang-orang yang jujur tidak cuba “mencuri kepercayaan” melalui taktik sensasi dan kiasu begini.

Lebih buruk lagi kedudukan PKR ini jika perhatikan satu lagi “gempaq politik” yang cuba dijaja oleh Badrul. Beliau mendakwa Azmin juga terbabit dalam proses melucutkan penghormatan “Datuk Seri” yang pernah dikurniakan oleh Sultan Selangor lebih sedekad lalu kepada Anwar Ibrahim.

Memang benar pelucutan itu tidak menjejaskan imej anwar. Malah ia mungkin memenangi simpati awam terhadapnya. Namun adakah tuduhan itu adil kepada Anwar, Azmin dan PKR sendiri?

Atau, adakah atas nama strategi mahu memenangi lebih banyak simpati bagi Anwar dan PKR sendiri maka ia  bersikap “seolah-olah tidak ambil hirau” politik Badrul itu?

Mungkin Badrul menggunakan strategi Goebbels, pakar strategi propaganda perang dunia kedua Jerman yang mengatakan bahawa sesuatu kepalsuan jika terus diulang, akhirnya akan diterima sebagai satu kebenaran bagi memenuhi agenda peribadinya sendiri.

Namun sebagai sebuah parti politik berakhlak, PKR harus bertanggungjawab menjelaskan sama ada tuduhan itu benar atau tidak. Jika ia palsu, tidakkah PKR wajib membela dan membersihkan nama baik menteri besar dan Timbalan Presidennnya?

“Inisiatif politik” Badrul ini boleh dilihat sebagai mahu memelihara “nama baik dan maruah” Anwar yang dilihat “mempertikaikan wibawa Istana Selangor” hingga perlu “diaibkan” dengan penarikan balik darjah kebesaran negeri.

Bagaimanapun apabila Badrul “mendedahkan” bahawa Azmin terbabit dalam proses “pengaiban” Anwar itu, ia sekaligus menyerlahkan betapa bahayanya Badrul dalam politik PKR. Ia menggambarkan PKR sebagai wadah yang tidak tenteram dan gelanggang “pertikaian sesama pemimpin”.

Sebagai presiden Wan Azizah seharusnya bertindak membersihkan partinya daripada unsur negatif yang semakin menjolok mata ini. Namun ia memerlukan keikhlasan dan keberanian. Jika tidak hentikanlah kepalsuan dengan berhenti menggunakan katanama PKR sebagai parti KEADILAN.

Thursday, 4 September 2014

Niat Rogol Terbantut Selepas Ditazkirah Hukum Dosa Yang Bakal Ditanggung


Seorang lelaki yang sudah membogelkan rakan sekelasnya membatalkan niat memperkosa mangsa sejurus diberikan ‘tazkirah’ berhubung dosa besar bakal ditanggung.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, suspek yang berusia 20-an sebaliknya meminta maaf, selain membantu mangsa memakai semula jubah yang sebelum itu ditanggalkan.

Apa Yang Berlaku Kepada McDonalds Boleh Berlaku Juga Kepada The Star


Bantahan, kritikan dan sindiran bekas Ketua Pengarang dan CEO The Star, Wong Chun Wai dalam tulisannya baru-baru ini terhadap orang Melayu dan Islam yang memulaukan Mc Donalds kerana kedhaliman Yahudi tidak berkesan sebaliknya outletnya di seluruh negara terus kosong dan sunyi.

Keadaan parah dialami oleh Mc Donalds di Kota Baharu dan Kuala Terngganu yang dulunya memungut berpuluh ribu RM sehari tetapi jualannya sekarang jatuh kepada kadar yang sangat kecil. Gambaran dapat dilihat dari luar cawangan-cawangannya ini. Di Kuala Lumpur dan di Alamanda Putrajaya hal ini amat jelas dengan restoran-restorannya kosong dan sepi kecuali hanya beberapa pelanggan bukan melayu.

Monday, 25 August 2014

Kisah Pelik Tapi Kelakar Yang Boleh Diambil Jadi Tauladan @bombaJBPM


Seorang pemuda berusia 22 tahun terpaksa menanggung azab lebih empat jam apabila cincin besi yang diletakkan pada alat sulitnya gagal ditanggalkan di rumahnya di Dewan Beta di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuam Zainab II (HRPZ) di sini, untuk mengeluarkan cincin berkenaan.

Saturday, 9 August 2014

SIAPA "DAYUS" DIDALAM KEMELUT TERSELAK KAIN...........?


Yang pasti PKR tidak mungkin rela digelar parti dayus. Jika lekat persepsi itu pada perjuangannya, ia akan menjadi petanda buruk bagi parti politik berusia lima belas tahun itu.

Justeru dalam mengharungi ujian politik paling getir berhubung isu mahu menukar Menteri Besar Selangor, sudah tentu ia akan menggembleng segala kebijaksanaan dan kudrat untuk menyelesaikannya dengan tenteram.

Kekecohan pemilihan pimpinan 2014 yang dipalit dengan dakwaan campurtangan samseng, tuduhan salahguna kuasa dan ketidakadilan sudah cukup mencalar wibawa dan kemampuan pimpinan parti.

Lantas jika ditakdirkan kempen Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meraih sokongan daripada PAS untuk mengekalkan kerusi Menteri Besar Selangor berjaya, sudah tentu citra politik PKR dilihat semakin hodoh.

Ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan-pilihan raya akan datang kerana ia mungkin dianggap sebagai parti yang tidak wajar diberi kepercayaan memimpin; baik di peringkat negeri apatah lagi persekutuan.

PKR mula 'tembak' Khalid kiri dan kanan

Justeru PKR perlu mengambil langkah tegas dalam menangani ini. Malam Isnin lalu Majlis Pimpinannya bersidang dan memutuskan untuk keluarkan surat tunjuk sebab kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengapa beliau enggan letak jawatan.

Tempoh yang diberikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong kepada Khalid ialah pada 4.30 petang 8 Ogos (Jumaat) ini. Jika tidak, Khalid mungkin dipecat daripada PKR!

Berikutan itu PKR mengambil tindakan lebih terbuka dan berani. Pada Isnin lalu, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ketika mengumumkan tarikh Kongres PKR ke 10, mengambil kesempatan menyelitkan enam dalil “dosa politik” Khalid.

Dosa-dosa kepada parti, rakyat dan kerajaan negeri itu disusun untuk menjadi bahan rujukan bagi PAS khususnya, dan DAP mengapa PKR mahu menggantikan Khalid dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berikutan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli “menghuraikan” lebih panjang lebar dosa Khalid itu di Kelang dan Pengerusi Pemilihan PKR 2014, Datuk Johari Abdul pula “membentangkan”  dalil mengapa Khalid perlu dipecat di Permatang Pauh. Kempen ini dijangka menular sehingga isu ini selesai.

Khalid kini akan jadi “paria” dalam politik PKR.

Banyak pihak, termasuk dalam PKR sendiri, yang agak kaget dan kurang senang dengan serangan-serangan terbuka terhadap Khalid kerana menganggapnya kurang beradab.

“Tetapi apa pilihan yang PKR ada. Khalid secara terbuka mendabik dada enggan letak jawatan. Walhal keputusan berhubung perkara itu dibuat oleh pimpinan parti sejak 15 Januari lalu.

“Jika Khalid sendiri benar-benar beradab, beliau seharusnya akur. Ini keputusan parti. Maka tak perlu penjelasan terbuka begini dibuat,” kata seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan.

Kedegilan Khalid memaksa PKR guna cara jijik jatuhkannya

Khalid nampaknya yang memaksa pimpinan PKR mengambil tindakan “kurang sopan” itu apabila mengacah dan mencabar pimpinan PKR bertindak ke atasnya apabila berdegil mahu terus menjadi Menteri Besar hingga pilihanraya umum ke-14 pada 2018!

Satu lagi faktor yang memaksa PKR “menelanjangkan dosa” Khalid ialah tindakannya melobi sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS supaya menyokongnya kekal sebagai Menteri Besar.

Kisah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertandang ke kediaman Khalid selepas tarawih Ramadan lalu dan kemudian mengeluarkan kenyataan peribadi mahu Khalid kekal sebagai menteri besar kerana “tiada dosa politik dan tidak khianat pada amanah” yang diberikan kepadanya menjadi pendorong kepada tindak tanduk kasar PKR ini.

Apabila beberapa pemimpin PAS lain seperti Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengekori pandangan Hadi, PKR tersudut dan wajib membentangkan hujah mengapa Khalid perlu diganti secara bertulis.

Soal sama ada tindakan PKR itu beradab atau tidak bukan persoalan apabila Khalid sendiri secara terbuka menunjukkan penentangannya terhadap wibawa pimpinan parti secara terbuka terlebih dahulu.

PKR anggap Khalid permainkan maruah parti

Soal sama ada Khalid mungkin menyaman Saifuddin atau PKR sendiri juga bukan isunya. Bagi PKR ini soal maruah dan soal wibawa barisan pimpinannya. Jika ia tidak bersikap tegas dengan gelagat Khalid ini boleh menconteng arah pada wibawanya.

Maka PKR wajar terus menekan Khalid supaya sebelum Jumaat ini beliau perlu berundur sebagai menteri besar. Bagaimanapun jika beliau berdegil, lebih banyak “kotoran politiknya” akan tersebar.

Sudah tentu PKR tidak mahu mengalah dan tidak boleh kalah dalam perang persepsi ini. Ia adalah soal hidup matinya wibawa parti. PKR sudah menunjukkan selera menyahut cabaran Khalid.

Maka demi kesinambungan kerjaya politiknya, Khalid perlu memilih hari dan ketika lain untuk mencabar, mengaib dan menjatuhkan PKR pula.

Kini dokumen PKR berhubung dosa politik Khalid sudah di tangan PAS. Ia menceritakan bahawa Khalid juga ada “kecurangan” politik. Ahad ini ia akan memutuskan untuk mempercayai atau tidak hujah PKR itu.

Namun yang lebih penting sebelum membuat sebarang ketetapan Ahad ini PAS perlu jelas mengapa ia mahu pertahankan Khalid?

Atau, adakah PAS ia sebenarnya tidak senang siapa calon yang akan menggantikan Khalid?

Atau, PAS sendiri mahu calonnya yang mengisi kerusi yang patut dikosongkan Khalid. PAS kena sambar peluang untuk menyatakan pendiriannya dengan “sopan dan berani”.

PAS perlu setegas PKR dan jujur dalam isu ini. PKR enggan dianggap dayus. Sanggupkah PAS pula menghadapi tuduhan bahawa ia juga turut “berdosa” mencambahkan lagi krisis Menteri Besar Selangor ini?